16 August 2015

KISAH MISTERI 4


Sepertimana lazimnya,  pada malam Isnin itu Ustaz R bersama dua rakannya pergi menunaikan hajat sebuah keluarga yang mahu rumah kediaman mereka di rawat bagi mengelakkan sebarang gangguan serta perkara-perkara buruk dari berlaku. Dua hari sebelum itu, Ustaz R telah di panggil ke rumah yang sama bagi merawat ahli keluarga arwah Awg Mail (bukan nama sebenar) yang terdiri daripada isterinya, Hjh Julia (bukan nama sebenar)  dan dua orang anak lelakinya, Ikmal dan Ikbal. Keluarga tersebut mengalami kemurungan yang amat mendalam setelah kematian arwah Awg Mail secara mengejut hampir sebulan yang lalu.


Pada keesokan petangnya, anak saudara Hjh Julia yang turut tinggal bersama keluarga tersebut di rumah itu telah menghubungi Ustaz R. Beliau (Didi) menceritakan mimpi buruknya kepada Ustaz R. Didi memberitahu yang dia di datangi oleh seorang wanita berkepala ular yang begitu marah kepadanya kerana membawa Ustaz R merawat keluarga ibu saudaranya.  Wanita tersebut memberi amaran kepada nya yang dia akan menerima padahnya. Khuatir akan sesuatu yang buruk terjadi kepada ibu saudara dan anak-anaknya, Didi memohon bantuan Ustaz R untuk sekali lagi datang ke rumah ibu saudaranya bagi merawat mereka dan sekaligus memagar rumah tersebut.


Ustaz R dan dua orang rakannya memulakan rawatan rumah berkenaan dengan membaca surah yassin serta beberapa potong ayat-ayat rukyah yang di sudahi dengan doa. Sebelum itu bahan-bahan seperti garam kasar, lada sulah hitam dan juga air mineral telah di letakkan di hadapan mereka untuk di doakan. Selesai sahaja doa, Ustaz R dan rakan rakannya mula bergerak melontarkan lada hitam dan juga garam kasar yang telah di doakan tadi ke seluruh bilik-bilik, dapur, bilik tamu kecuali tandas serta di kawasan keliling rumah.


Selesai semua itu di lakukan barulah Ustaz R mula merukyah ahli keluarga Hjh Julia yang di dahului oleh anak sulong nya, Ikmal. Belum lama Ustaz R membacakan ayat-ayat rukyah keatas Ikmal, tiba-tiba Didi yang duduk tidak jauh dari situ, meronta-ronta kepanasan dan terpaksa di pegang oleh suami dan rakan-rakan ustaz. Selesai sahaja merukyah Ikmal, Ustaz R terus menghadap Didi yang semakin agresif akibat di masuki oleh makhluk Jin.  Ustaz lantas membacakan ayat-ayat rukyah sambil tangan kanannya di letakkan di atas kepada Didi dengan izin suaminya. Selesai sahaja ustaz membacakan surah Al-Hasyr, ayat 21 hingga 24, Didi mula meronta-ronta dan meminta ustaz untuk berhenti membaca kerana dia merasa sakit dan kepanasan. Ustaz berkata yang dia hanya akan berhenti sekiranya dia (Jin dalam jasad Didi) berjanji untuk keluar dari jasad Didi, namun Jin tersebut angkuh tidak mahu bekerjasama.ustaz mula berdialog dengan Jin yang memasuki jasad Didi tersebut.


Ustaz : Assalamualaikum [ sampai tiga kali salam di berikan namun tiada jawapan ]


Ustaz :  Dengan nama Allah, pencipta kamu, pencipta kami dan pencipta semua makhluk yang ada di langit dan di bumi dan diserata alam. Siapa kamu? Kenapa kamu memasuki jasad hamba Allah ini?


Didi :  Aku .... di suruh.[ dengan nada terketar-ketar ]


Ustaz : Kamu ada nama?


Didi : [ Menggelengkan kepala ]


Ustaz : Kalau macam itu, mulai detik dan saat ini, kamu ku panggil Laila, kamu faham?


Didi :[ Mengangguk kan kepala ]


Ustaz : Tahu kah kamu,yang perbuatan kamu ini di laknat oleh Allah? Apakah kamu mahu bertanggungjawab di hadapan Allah di atas perbuatan kamu ini?


Didi : Tapi aku di hantar tuan ku, ustaz [ sambal menangis ]


Ustaz : Kalau begitu keluar saja kamu….kembali kepada siapa yang menghantar kamu kemari. Cukup sudah kamu menyakiti jasad ini, masa untuk kamu tinggalkan dia.


Didi :  Tidak boleh ustaz..nanti tuan ku marah.


Ustaz : Yang mana satu lebih kamu takuti Laila? tuan kamu atau Allah yang telah menciptakan kamu, tuan kamu, kami dan apa jua yang ada di sekeliling kamu? Kamu tidak takut akan neraka Allah? Atau kamu mau ku bakar saja kamu dengan izin Allah?


Didi : Jangan ustaz, aku bertaubat ustaz [ sambil menangis ]


Ustaz : Apa buktinya kamu bertaubat? Apa kamu mau masuk Islam? 


Didi : Ajarkan kepada ku ustaz.


Ustaz : Sebelum ku ajarkan kepada mu kalimah agung itu, cuba ceritakan pada ku, apa sebenarnya tujuan mu kemari?


Didi : [ menunjuk kearah sebuah “Tajau” lama yang berada dihadapan pintu bilik tamu ]


Ustaz segera mendapatkan tajau tersebut dan membawanya di hadapan Didi.


Ustaz : Ada apa dengan tajau ini Laila?


Didi : Lihat di dalamnya [sambil menunjuk ke arah piring yang menutup tajau tersebut ]


Ustaz R dengan hati-hati membaca Doa Pembatal sihir dan Ayatul Kursi mengeluarkan sesuatu dari dalam perut tajau tersebut. Ternyata memang benar, ada sebiji batu kemenyan di dalamnya. Melihatkan ini, Hjh Julia langsung menangis teresak esak kerana seakan akan tidak percaya dengan apa yang di saksikannya itu kerana beliau sendiri membersihkan tajau itu siang tadi dan ianya kosong.


Batu kemenyan tersebut terus di matikan sihirnya oleh Ustaz R sebelum mengarahkan rakannya meninggalkannya di luar rumah selama tiga malam berturut turut.


Ustaz : Laila, masanya tiba untuk mendapatkan rahmat keampunan daripada Allah, pencipta kita semua. Ikuti apa yang ku sebut ini [ membaca dua kalimah syahadah sambil di ikuti dengan tangis oleh Laila ]


Semua yang hadir menyaksikan peristiwa itu mengucapkan takbir dan syukur malah ada yang menitiskan air mata. 


Ustaz : Allahu Akbar… Alhamdulillah. Kita kini bersaudara meskipun berlainan alam. Ingatlah firman Allah yang lebih kurang bermaksud… Tidak ku jadikan sekalian Jin dan Manusia itu, selain semata mata untuk beribadat dan menyembah Ku. 


Kini kamu sudah menjadi seorang muslim yang bersih dari segala dosa. Kini, tunaikan lah janji mu, keluarlah dari jasad ini, kerana ia jua seperti kamu, punya kewajipan untuk beribadat dan menyembah Allah. Kamu pergi lah sertai rakan rakan kamu yang ketika ini sibuk beribadat dan tawaf di Baitullah di Masjidil Haram di Mekah. Semoga kamu akan sentiasa mendapat rahmat dan hidayat Allah. Tinggalkan jasad ini secara baik, beri salam n jangan lagi kembali kesini. Biarkan Allah sahaja yang menjaga keluarga ini sepertimana jua Allah menjaga kamu. Keluar lah wahai makhluk Allah, semoga kamu di rahmatinya.


Dengan wajah yang tenang dan berseri seri, Didi memberi salam ASSALAMUALAIKUM, sejurus selepas itu muntah yang menandakan makhluk Jin yang memasuki jasadnya sudah keluar. Keadaan Didi begitu lemah, Ustaz terus membacakan ayat ayat rukyah bagi mempastikan yang tiada lagi makhluk lain yang berada di dalam jasadnya. Dan Alhamdulillah, ternyata Didi sudah bersih dari gangguan.


Ustaz R bersyukur kehadrat Allah kerana dengan izin dan bantuannya, sekali lagi beliau dapat membantu keluarga Hjh Julia pada malam itu.

No comments:

Post a Comment